Archive | latihan jangka pendek RSS feed for this section

Majlis Tamat Latihan Ukiran Kayu 3D

18 Oct

 

Ucapan Pengarah Cawangan dan Tenaga Pengajar..

 

 

Pada hari Jumaat lalu (15/10/10), kami mengadakan majlis penyampaian sijil tamat latihan jangka pendek ukiran kayu 3D.  Untuk makluman, peserta-peserta telah memulakan latihan mereka pada awal bulan September lalu, dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Encik Muhamad bin Abdullah, usahawan kraf kayu dari Kuantan. Untuk makluman, terdahulu pada tahun lepas, tenaga pengajar ini telah mendapat latihan mengukir kayu 3D di Chiang Mai, Thailand. Justeru kesinambungan daripada itu, latihan jangka pendek ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan pengukir-pengukir kayu yang mampu menghasilkan ukiran kayu 3D. Dengan peserta latihan seramai 07 orang, tenaga pengajar juga dibantu oleh Encik Ridzuwan bin Mohamad (Pengajar Kraf di Pusat Inkubator Kraf Temerloh) yang turut berpeluang mengikuti latihan ukiran kayu 3D di Chiang Mai pada tahun 2009.

 

 

Jemputan pada petang itu..

 

 

Pada majlis itu juga, kami turut menjemput usahawan-usahawan SDSI kraf kayu di sekitar daerah Temerloh dan usahawan-usahawan inkubator supaya mereka ini turut mendapat maklumat berkaitan ukiran kayu 3D.

 

 

Kenangan beramai-ramai..

 

 

Sepanjang lebih kurang 02 bulan latihan diadakan, setiap peserta dapat menyiapkan sekurang-kurangnya 03 jenis produk dan pencapaian ini amat membanggakan kerana para peserta dilihat mampu menguasai teknik ukiran 3D ini.

 

 

Hasil ukiran 3D ..

 

 

 

Semoga latihan sebegini dapat memberi manfaat kepada usahawan-usahawan kraf kayu khususnya dan Kraftangan Malaysia amnya dalam usaha untuk memartabatkan lagi seni ukiran kayu.

Advertisements

Ekspresi Ukiran Kayu 3D

13 Oct

Latihan ukiran kayu 3D semakin tiba ke penghujungnya. Peserta-peserta dilihat masih menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembelajaran ukiran dimana masing-masing berusaha untuk menyiapkan projek ukiran dengan “skill” yang tersendiri.

 

...antara hasil usaha peserta-peserta latihan selama beberapa minggu...

 

 

Kayu Angsana (Sena) atau nama botaninya “Pterocarpus Indicus” ¬†dipilih untuk menghasilkan produk sepanjang latihan ini dijalankan. Pokok Sena merupakan pokok asal di Malaysia dan dianggap sebagai pokok balak yang baik. Ia juga merupakan sejenis kayu yang keras dan tahan anai-anai.


Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Jangka Pendek Asas Ukiran Kayu 2010

3 Aug


Pusat Inkubator Kraf Temerloh telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Jangka Pendek asas ukiran kayu pada 28 Julai 2010 yang lalu. Seramai 07 orang pelatih telah berjaya menamatkan latihan dan mereka dilihat dapat menguasai kemahiran mengukir kayu. Majlis dirasmikan oleh Pengarah, PKKM Cawangan Pahang, Encik Mohd. Zubair bin Mohd. Zain. Ketua pelatih, saudara Mohd. Firdaus bin Kasad (foto atas kanan) turut diberi peluang untuk memberikan sepatah dua kata.

Untuk makluman, latihan jangka pendek ini bermula pada bulan Februari 2010 yang lalu dan pada awalnya terdapat 11 orang pelatih yang menyertai latihan. 03 orang pelatih yang berjaya menamatkan latihan merupakan pelatih-pelatih dari Selangor, 02 orang dari Raub, 01 orang dari Rompin dan 01 orang lagi dari Negeri Sembilan.


Para pelatih juga membuat persembahan di majlis tersebut, dimulakan dengan persembahan silat oleh saudara Razarul Ariffin,  diikuti dengan bacaan sajak bertajuk “Seni Keris Melayu” dan “Rumah Satu Bangsa” serta nyanyian lagu “Warisan” oleh kesemua pelatih. Walaupun diduga dengan masa yang agak terhad tetapi kesemua pelatih dapat menunjukkan satu persembahan yang menarik dan mendapat tepukan daripada para tetamu.
 
Sesi penyampaian sijil disempurnakan oleh Pengarah, PKKM Cawangan Pahang dimana setiap pelatih menerima sijil penyertaan yang difremkan didalam frem kayu yang dihasilkan sendiri oleh pelatih-pelatih tersebut.

Pelatih terbaik : Saudara Razarul Ariffin dari Raub, Pahang




Selain daripada anggota kerja dan pelatih, para ibubapa pelatih dan usahawan-usahawan kraf sekitar Temerloh juga dijemput hadir. Tidak ketinggalan anggota-anggota kerja yang tidak lagi berkhidmat (bersara awal) dengan PKKM Cawangan Pahang, turut dijemput ke majlis ini. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tetamu yang sudi hadir bagi memeriahkan lagi majlis pada hari tersebut. Terima kasih juga kepada semua anggota kerja Pusat Inkubator Kraf Temerloh yang telah menunjukkan “teamwork spirit” yang baik dalam menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan majlis ini.  




Foto : Anggota kerja yang telah bersara awal 
Kiri : Puan Mahayah (Pembantu Tadbir Akaun)
Kanan : Puan Wan Maimunah (Pembantu Tadbir Rendah)

Aktiviti Kemasan Produk LJP 2010

28 Jul























Latihan jangka pendek asas ukiran kayu akan berakhir pada 31 Julai 2010 ini dan kebiasaannya pada penghujung latihan, kami mengadakan latihan kemasan untuk pelatih-pelatih. Latihan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelatih-pelatih berkaitan jenis-jenis dan teknik-teknik asas kemasan produk. Pelatih-pelatih perlu menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan kemasan yang menarik pada produk masing-masing.

Latihan ini dijalankan selama 02 hari pada 21 – 22 Julai 2010 yang lalu dan pihak kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Encik Aziruddin bin Md Nor yang datang dari PKKM Kuantan, kerana sudi berkongsi ilmu  kemasan dengan pelatih-pelatih. Terima kasih juga kepada pembantu beliau, Encik Zurahimi bin Jusoh.

Untuk makluman, sebanyak lebih kurang 95 unit produk kayu telah dihasilkan oleh pelatih-pelatih sepanjang latihan jangka pendek ini dilaksanakan.

Kelas Kosting Untuk Pelatih LJP

7 Jun
Selain daripada memberikan tunjuk ajar didalam kemahiran mengukir produk-produk kayu, pelatih-pelatih LJP juga diberi pendedahan terhadap ilmu pengekosan (costing). Ini bertujuan supaya pelatih-pelatih ini tahu dan faham bagaimana untuk menetapkan harga bagi sesuatu produk.
Kelas kosting ini dikendalikan sendiri oleh pihak Pusat Inkubator Kraf Temerloh.  Untuk makluman, tempoh latihan jangka pendek bagi sesi 2010 ini akan berakhir pada 31 Julai 2010.

Pelatih Baru LJP Melapor Diri

5 Feb
Pada 01/02/2010 yang lalu, pihak kami telah menerima kedatangan pelatih-pelatih LJP bidang ukiran kayu bagi Fasa I / 2010 ini. Sebahagian daripada mereka ini datang dari luar negeri Pahang iaitu 3 pelatih dari Selangor dan 2 pelatih dari Negeri Sembilan. Manakala selebihnya mereka ini datang dari Raub, Rompin dan sekitar daerah Temerloh.

 

 

 

 

LJP Fasa I / 2010 ini masih memfokuskan kepada ukiran asas produk-produk kayu seperti frem, panel dan sebagainya. Kesemua pelatih bagi sesi ini tidak mempunyai asas ukiran, melainkan ada diantara mereka yang mempunyai pengalaman bekerja separuh masa dengan usahawan kraf.

 

 

 

 

 

Latihan fasa I / 2010 ini akan berakhir pada 31 Julai 2010 ini dan tenaga pengajar yang bertanggungjawab untuk membimbing pelatih-pelatih ini ialah Encik Ridzuwan bin Mohamad.

Kemasiapan Produk LJP Sesi II/2009

12 Jan

Baru-baru ini aktiviti kemasiapan terakhir telah dijalankan terhadap produk-produk LJP bidang ukiran kayu sesi II / 2009. Atas khidmat dan tunjuk ajar daripada Encik Aziruddin bin Md Nor (Pengajar Kraf PKKM Kuantan), aktiviti tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

Produk-produk tersebut dihasilkan oleh 3 orang pelatih LJP yang mula menjalani latihan bermula Julai hingga Disember 2009. Latihan ini memberikan impak yang positif berdasarkan penghasilan produk-produk tersebut.

Produk-produk ini mula dipamerkan di Anan Kraf, Pusat Inkubator Kraf Temerloh mulai 18 Januari 2010 ini.