Archive | October, 2010

Lawatan Sekolah Kebangsaan Tanjong Lalang, Temerloh

29 Oct

 

 

Taklimat ringkas kepada guru-guru dan pelajar..

 

Seramai 12 orang guru dan 140  orang pelajar  dari Sekolah Kebangsaan Tanjong Lalang, Temerloh telah datang membuat lawatan sambil belajar bagi pengisian program selepas peperiksaan UPSR.  Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Encik Mohd. Rosli bin Sulaiman, Pereka di Pusat Inkubator Kraf Temerloh, yang diadakan di dewan kuliah.

 

Pelajar-pelajar berpeluang melihat proses pembuatan produk kayu..

 

Selesai taklimat, guru-guru dan pelajar-pelajar dibawa melawat ke bengkel-bengkel usahawan inkubator dan melihat demonstrasi penggunaan peralatan dan mesin jentera tertentu.

 

Pelajar-pelajar sedang fokus meluahkan idea dan kreativiti masing-masing..

 

Selain daripada lawatan ke bengkel-bengkel usahawan dan bilik pameran, aktiviti pendidikan kraf juga diadakan. Melalui aktiviti sebegini, pelajar-pelajar diberi peluang untuk menunjukkan kreativiti masing-masing melalui aktiviti “surface deco”. Guru-guru juga turut sama mencuba..

 

Pelajar-pelajar melihat proses kemasan produk..

 

Di bengkel kemasan, guru-guru dan pelajar-pelajar diberi pendedahan berkaitan dengan proses kemasan dan dilihat mereka ini mendapat maklumat dan pengetahuan yang baru.

 

Kreativiti pelajar-pelajar..

 

Bergambar beramai-ramai..

 

Lawatan seramai 140 orang pelajar ini dipecahkan kepada 03 kumpulan dan lawatan merangkumi 03 sesi pada hari yang berbeza. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak sekolah yang memilih tempat kami sebagai salah satu pengisian program selepas peperiksaan UPSR. Semoga silatulrahim terus terjalin.

Orientasi Pengeluaran Rebab Ikan Buntal

28 Oct

 

Rebab ikan buntal yang telah disiapkan..

 

Kraf orang asli tidak dilupakan, seiring dengan pengeluaran produk-produk kraf lain yang dimonopoli oleh usahawan bumiputera. Di negeri Pahang, kraf orang asli menjadi perhatian ramai apabila ada diantara mereka yang mampu menghasilkan alat muzik tradisional, yang diperbuat daripada kulit ikan buntal. Untuk makluman, rebab ikan buntal ini mula mendapat perhatian apabila demonstrasi pembuatannya diadakan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2010 yang lalu.

Untuk terus memartabatkan kraf warisan negeri Pahang, PKKM Cawangan Pahang mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti orientasi pengeluaran (OP) rebab ikan buntal yang bertempat di Pos Iskandar, Bera, Pahang. Seramai 07 orang peserta menyertai aktiviti ini dan kesemuanya terdiri daripada orang asli tempatan (Semelai). Anggota-anggota kerja di Pusat Inkubator Kraf Temerloh berperanan membantu menyelaras keperluan aktiviti dan memantau pelaksanaan aktiviti ini.

Projek Pengeluaran Kotak Kayu

26 Oct

 

Progres projek pembangunan pengeluaran kotak kayu yang dijalankan di Pusat Inkubator Kraf Temerloh masih diperingkat “sampling” dimana pada peringkat ini, kami masih lagi dalam usaha menghasilkan rekaan-rekaan yang baru dan eksklusif serta memahirkan teknik-teknik pembuatan dan kemasan.

Foto di atas menunjukkan beberapa rekaan kotak kayu yang dihasilkan oleh “team” tersebut.

Majlis Tamat Latihan Ukiran Kayu 3D

18 Oct

 

Ucapan Pengarah Cawangan dan Tenaga Pengajar..

 

 

Pada hari Jumaat lalu (15/10/10), kami mengadakan majlis penyampaian sijil tamat latihan jangka pendek ukiran kayu 3D.  Untuk makluman, peserta-peserta telah memulakan latihan mereka pada awal bulan September lalu, dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Encik Muhamad bin Abdullah, usahawan kraf kayu dari Kuantan. Untuk makluman, terdahulu pada tahun lepas, tenaga pengajar ini telah mendapat latihan mengukir kayu 3D di Chiang Mai, Thailand. Justeru kesinambungan daripada itu, latihan jangka pendek ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan pengukir-pengukir kayu yang mampu menghasilkan ukiran kayu 3D. Dengan peserta latihan seramai 07 orang, tenaga pengajar juga dibantu oleh Encik Ridzuwan bin Mohamad (Pengajar Kraf di Pusat Inkubator Kraf Temerloh) yang turut berpeluang mengikuti latihan ukiran kayu 3D di Chiang Mai pada tahun 2009.

 

 

Jemputan pada petang itu..

 

 

Pada majlis itu juga, kami turut menjemput usahawan-usahawan SDSI kraf kayu di sekitar daerah Temerloh dan usahawan-usahawan inkubator supaya mereka ini turut mendapat maklumat berkaitan ukiran kayu 3D.

 

 

Kenangan beramai-ramai..

 

 

Sepanjang lebih kurang 02 bulan latihan diadakan, setiap peserta dapat menyiapkan sekurang-kurangnya 03 jenis produk dan pencapaian ini amat membanggakan kerana para peserta dilihat mampu menguasai teknik ukiran 3D ini.

 

 

Hasil ukiran 3D ..

 

 

 

Semoga latihan sebegini dapat memberi manfaat kepada usahawan-usahawan kraf kayu khususnya dan Kraftangan Malaysia amnya dalam usaha untuk memartabatkan lagi seni ukiran kayu.

Ekspresi Ukiran Kayu 3D

13 Oct

Latihan ukiran kayu 3D semakin tiba ke penghujungnya. Peserta-peserta dilihat masih menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembelajaran ukiran dimana masing-masing berusaha untuk menyiapkan projek ukiran dengan “skill” yang tersendiri.

 

...antara hasil usaha peserta-peserta latihan selama beberapa minggu...

 

 

Kayu Angsana (Sena) atau nama botaninya “Pterocarpus Indicus”  dipilih untuk menghasilkan produk sepanjang latihan ini dijalankan. Pokok Sena merupakan pokok asal di Malaysia dan dianggap sebagai pokok balak yang baik. Ia juga merupakan sejenis kayu yang keras dan tahan anai-anai.


Menjejak Usahawan di Kuala Tahan

11 Oct

Baru-baru ini kami telah membuat lawatan susulan ke Kuala Tahan, bagi melihat situasi usahawan kraf kayu yang berada di sana. Untuk makluman, terdapat seorang usahawan kraf kayu (Puan Taheera) yang mengusahakan kraf kayu di Kuala Tahan. Puan Taheera merupakan bekas pelatih PKKM Cawangan Pahang. Sebelum ini Puan Taheera membuat produk-produk kayu yang boleh dibuat cenderahati seperti replika bot Kuala Tahan, “key-chain” dan sebagainya lagi. Produk-produk ini dipasarkan di sekitar Kuala Tahan dan pasaran / permintaan adalah bergantung kepada bilangan pengunjung atau pelancong yang datang ke Kuala Tahan. Walaubagaimanapun sejak kebelakangan ini, usahawan ini dilihat tidak lagi aktif membuat produk-produk kayu disebabkan masalah kesihatan dan masalah-masalah lain.

 

Jeti tempat kami menaiki bot ke destinasi mesyuarat

 

 

Pemergian kami ke Kuala Tahan ini berkaitan dengan undangan ke Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Jerantut yang telah diadakan di Pusat Kecemerlangan dan Alam Sekitar, Sungai Tabung, Kuala Tahan. Mesyuarat diadakan bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan persekitaran daerah Jerantut dan Kuala Tahan khususnya. Diantara cadangan yang dikemukakan semasa mesyuarat ialah Majlis Daerah mewajibkan pemilik kiosk-kiosk jualan menjual sekurang-kurangnya satu atau dua jenis produk kraf hasil pembuatan usahawan Jerantut.

 

Ahli-ahli mesyuarat begitu teruja menaiki bot..

 

 

Untuk makluman, usahawan-usahawan kraf yang masih aktif di Jerantut ialah Temin Kraf (seramik) dan Eco Craft (Batik).  Temin Kraf yang beroperasi di Kampung Temin merupakan usahawan SDSI, manakala Eco Craft pula beroperasi di bangunan Kraftangan milik Pasdec di pinggir jalan utama Jerantut – Benta. Eco Craft kini lebih memfokuskan kepada batik lukis yang terdiri daripada lukisan-lukisan batik dan pakaian lelaki / wanita.

 

Tempat mesyuarat diadakan..cantik..

 

 

Turut sama menghadiri mesyuarat ialah Pegawai Daerah Jerantut, YH Dato’ Ismail bin Mohd Ali dan usahawan-usahawan sekitar Kuala Tahan.

Operasi Menebas Semak-Samun

5 Oct

Sedang fokus menebas semak dan membakar sampah..

Usai sudah jamuan raya, kami menjalankan operasi membersihkan semak-samun yang tumbuh liar di hadapan pejabat. Cadangan awal kami untuk mencantas dahan-dahan pokok tetapi cadangan ditukarkan kepada operasi menebas semak-samun dan membetulkan saluran air di longkang yang hampir tersumbat.
Operasi pembersihan yang memakan masa selama 2 jam lebih ini hanya berjaya “melapangkan” kawasan hadapan pejabat dan sebahagian kecil kawasan semak di tepi longkang utama. Pendek kata jika kami mahu keseluruhan kawasan “clear”, mahu seminggu buat gotong-royong, barulah kesemuanya dapat dibersihkan.
Disamping itu juga, para pelatih dan usahawan inkubator bekerjasama membersihkan bengkel gunasama dan “dust collector” yang tak habis-habis “memuntahkan” isinya. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi pembersihan ini.