Archive | July, 2010

Promosi Kraf Malaysia di East Coast Mall, Kuantan

29 Jul

Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang sedang mengadakan Promosi Kraf Malaysia, bertempat di pusat membeli-belah East Coast Mall, Kuantan. Program promosi ini berlangsung selama 05 hari bermula 29 Julai – 02 Ogos 2010. Pelbagai jenis produk kraf boleh dilihat dan dibeli di sana. Antara aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan sempena program ini ialah  lawatan berpandu, interaktif kraf, pertandingan permainan tradisional dan demonstrasi kraf.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Cik Zamhuriah atau Puan Nik Elia Juliana ditalian 09-5385677 atau 09-5384598. Belilah produk kraf tempatan.

Aktiviti Kemasan Produk LJP 2010

28 Jul























Latihan jangka pendek asas ukiran kayu akan berakhir pada 31 Julai 2010 ini dan kebiasaannya pada penghujung latihan, kami mengadakan latihan kemasan untuk pelatih-pelatih. Latihan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelatih-pelatih berkaitan jenis-jenis dan teknik-teknik asas kemasan produk. Pelatih-pelatih perlu menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan kemasan yang menarik pada produk masing-masing.

Latihan ini dijalankan selama 02 hari pada 21 – 22 Julai 2010 yang lalu dan pihak kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Encik Aziruddin bin Md Nor yang datang dari PKKM Kuantan, kerana sudi berkongsi ilmu  kemasan dengan pelatih-pelatih. Terima kasih juga kepada pembantu beliau, Encik Zurahimi bin Jusoh.

Untuk makluman, sebanyak lebih kurang 95 unit produk kayu telah dihasilkan oleh pelatih-pelatih sepanjang latihan jangka pendek ini dilaksanakan.

Operasi Pembersihan – Julai 2010

27 Jul

Foto : Pembersihan sedang dijalankan di dalam bengkel gunasama dan pembuangan sisa-sisa habuk kayu ke dalam tong.

Seperti biasa kami perlu menjalankan operasi pembersihan di bengkel-bengkel gunasama, disebabkan tahap kebersihan di bengkel kurang memuaskan. Pembersihan ini merangkumi aktiviti membersihkan ruang dalam bengkel gunasama, membersihkan persekitaran mesin-mesin jentera dan membuang sisa-sisa habuk kayu yang terkumpul di dalam “rumah habuk”.

Kami menggelarkan operasi pembersihan ini sebagai “Hari Habuk Sedunia” kerana sepanjang operasi ini dijalankan, kami bergelumang dengan habuk-habuk kayu. Operasi ini melibatkan kesemua pegawai, anggota kerja, pelatih LJP dan juga usahawan-usahawan inkubator.





Semoga semangat bekerjasama sentiasa berkekalan demi kemajuan agensi.

Promosi Jualan Produk Kraf – Sempena Program Rapat 1 Malaysia

23 Jul
03 orang anggota kerja di Pusat Inkubator Kraf Temerloh telah mewakili PKKM Cawangan Pahang menyertai aktiviti jualan sempena program Rapat 1 Malaysia, yang telah diadakan di Simpang Pelangai, Bentong pada     15 – 16 Julai 2010 yang lalu. Program yang dijalankan selama 02 hari ini telah dirasmikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan bin Haji Yaakob. Pelbagai aktiviti telah berlangsung di situ, antaranya aktiviti jualan dan pameran, aktiviti menderma darah, pertandingan permainan tradisional, perlawanan acara sukan dan juga cabutan bertuah.

Program Rapat 1 Malaysia ini merupakan salah satu program negeri yang dianjurkan oleh pihak JASA negeri Pahang. 

Lawatan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT), Kem Mentakab

21 Jul
Pada 14 Julai 2010 yang lalu, kami menerima lawatan daripada Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) dari Pusat Latihan Perisikan (PULARIS), Kem Mentakab, Pahang. Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada 30 orang ahli-ahli BAKAT berkaitan pembuatan produk-produk kraf kayu. Terima kasih diucapkan kepada Kapten Nelly Suriyana binti Baharudin yang menyelaras program ini.

Agenda lawatan termasuklah lawatan ke bengkel-bengkel usahawan inkubator, bengkel latihan jangka pendek dan bengkel gunasama untuk melihat sendiri proses pembuatan produk kraf kayu.

Bengkel Rekabentuk Perabot Fasa 2 – Anjuran Bahagian Rekaan, Ibu Pejabat PKKM

19 Jul



Untuk kali keduanya, sekumpulan pereka-pereka Kraftangan Malaysia dan usahawan-usahawan kraf kayu berkampung di Pusat Inkubator Kraf Temerloh, bermula pada 10 – 14 Julai 2010 yang lalu. Bahagian Rekaan, Ibu Pejabat PKKM telah menganjurkan Bengkel Rekabentuk Perabot Fasa 2 yang memberi peluang kepada pereka-pereka dan usahawan-usahawan kraf kayu mengeksploitasikan idea / ilham masing-masing untuk menghasilkan produk kayu yang bertemakan perabot dan beberapa jenis produk kayu lain seperti lamp stand dan kotak kayu.



Foto : Taklimat ringkas tapi padat oleh Encik Halim


Foto : Proses perbincangan, penyediaan bahan dan pemasangan




Foto : Para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan produk


Hasil daripada usaha dan kerjasama berpasukan yang jitu, tidak kurang daripada 19 unit produk telah dihasilkan pada penghujung bengkel tersebut. Jenis-jenis kayu yang digunakan ialah  kayu Jelutong dan kayu rel keretapi (kayu lama). Hasil-hasil rekaan ini boleh dilihat semasa Pameran Hasil Rimba di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Oktober 2010 nanti.



Foto : Hari terakhir bengkel, sebelum sesi penutup dan penyampaian sijil




Pengarah, Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Encik Mohd. Zubair bin Mohd. Zain telah menyempurnakan penutupan bengkel dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.

Hari Bertemu Pelanggan

13 Jul

Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di PKKM Kuantan pada 12 Julai 2010. Program yang diadakan serentak diperingkat Kraftangan Malaysia seluruh negara ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan-usahawan kraf untuk bersemuka secara terus bagi berbincang dan bertukar pandangan. Disamping itu juga program ini menjadi saluran penyelesaian masalah pelanggan dan pengaduan awam dengan berkonsepkan mesra pelanggan.

Program dimulakan dengan taklimat daripada Pengarah, Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Encik Mohd. Zubair bin Mohd. Zain, diikuti dengan aktiviti interaktif kraf yang disertai oleh pelajar-pelajar dari Kolej IKIP, Kuantan. Selain daripada itu, kaunter-kaunter khidmat pelanggan juga disediakan untuk kemudahan usahawan dan pelanggan.
Seramai 03 orang anggota kerja Pusat Inkubator Kraf Temerloh telah menyertai program ini.